From: Tuan Hassan Tuan Lah
Selayang pandang secara automatik sensor dalam keilmuan kita akan menolak hadis fadhilat sebegini. Ribuan hadis seperti ini berlegar di kalangan orang awam untuk memberi motivasi dan membuai mereka melakukan amal. Hadis ini statusnya maudhu'
(rekaan) mengikut Syaikhul Hadis Nasiruddin alBani dan pendustaan terhadap Ibn Abbas RA. Ibn Jauzi pula menegaskan hadis ini maudhu' tanpa ragu lagi. Imam Ahmad Ibn Hanbal menjelaskan hadis ini direka oleh seorang pendusta bernama Habib bin Abu Habib. Ibn Hibban juga memberitahu hadis ini adalah Batil dan tidak halal menyibarkannya. Imam Dzahabi juga menyebut sebagai maudhu' (rekaan).
Umat Islam disunatkan berpuasa pada 9, 10 dan 11 Muharram supaya tidak menyerupai umat Yahudi yang bepuasa pada 10 Muharam sahaja. Namun menurut Imam Syafi'iy (al Umm) tidak ditegah jika seseorang hanya mahu berpuasa pada 10 Muharam sahaja. Manakala pahala puasa tidak perlu dibincangkan kerana pahala puasa adalah rahsia Allah yang hanya akan diketahui di timbangan Mahsyar.
--------------------------------------------------------------------------------
Hadis rekaan yang dimaksudkan :
Dari Ibnu Abbas r.a berkata Rasulullah S.A.W bersabda : " Sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharram) maka Allah S.W.T akan memberi kepadanya pahala 10,000 malaikat dan sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharram) maka akan diberi pahala 10,000 orang berhaji dan berumrah, dan 10,000 pahala orang mati syahid, dan barang siapa yang mengusap kepala anak-anak yatim pada hari tersebut maka Allah
S.W.T akan menaikkan dengan setiap rambut satu darjat. Dan sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada orang mukmin pada hari Asyura, maka
seolah-olah dia memberi makan pada seluruh ummat Rasulullah S.A.W yang berbuka puasa dan mengenyangkan perut mereka." Lalu para sahabat bertanya Rasulullah S.A.W : " Ya Rasulullah S.A.W, adakah Allah telah melebihkan hari Asyura daripada hari-hari lain?". Maka berkata Rasulullah S.A.W : " Ya, memang benar, Allah Taala menjadikan langit dan bumi pada hari Asyura, menjadikan laut pada hari Asyura, menjadikan
bukit-bukit pada hari Asyura, menjadikan Nabi Adam dan juga Hawa pada hari Asyura, lahirnya Nabi Ibrahim juga pada hari Asyura, dan Allah S.W.T menyelamatkan Nabi
Ibrahim dari api juga pada hari Asyura, Allah S.W.T menenggelamkan Fir'aun pada hari Asyura, menyembuhkan penyakit Nabi Ayyub a.s pada hari Asyura, Allah S.W.T
menerima taubat Nabi Adam pada hari Asyura, Allah S.W.T mengampunkan dosa Nabi Daud pada hari Asyura, Allah S.W.T mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman juga pada hari Asyura, dan akan terjadi hari kiamat itu juga pada hari Asyura !".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan