18 Mei, 2009

Nabi Muhamad saw mandi bersama-sama isteri

Pernahkah anda mandi bersama-sama isteri anda? Kalau belum, anda patut mencubanya. Mandi bersama dengan saling jirus-menjirus serta gosok-menggosok dan sebagainya adalah amalan yang cukup bermakna dalam kehidupan suami isteri. Insyallah mandi bersama-sama ini dapat mengukuhkan lagi rasa kasih suami isteri. Amalan ini bukan petua yang datang dari orang zaman dulu, bukan juga saranan tokoh motivasi, tetapi ia adalah amalan Rasulullah sallallahi ‘alaihi wa sallam –manusia paling agung dan paling mulia di atas muka bumi ini.

Imam Al-Bukhari meriwayatkan;

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كُنْتُ أَغْتَسِلُ أَنَا وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ تَخْتَلِفُ أَيْدِينَا فِيهِ

Maksudnya;
“Daripada Aisyah R.Ha berkata : aku sentiasa mandi bersama dengan Nabi SAW daripada satu bekas. tangan kami sama-sama berselisih (ketika menggunakan air dalam bekas itu)” (Sahih Al-Bukhari : hadis no : 253)

Hadis ini menunjukkan bagaimana indah dan romantiknya Nabi SAW dengan isteri-isterinya. Gambaran romantik ini, dirakamkan sendiri oleh Aisyah yang bercerita bagaimana Baginda SAW boleh mandi bersama-sama sehingga tangan mereka berselisih dan berganti-gantian.

Mandi yang dimaksudkan dalam perbincangan ini, tidak dikhususkan kepada mandi biasa sahaja, bahkan termasuk juga mandi jinabah atau disebut sebagai mandi wajib.

Dalam hadis riwayat Imam Muslim, ada dinyatakan;

كُنْتُ أَغْتَسِلُ أَنَا وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ وَنَحْنُ جُنُبَانِ

Maksudnya;
“Aku selalu mandi bersama dengan Rasulullah SAW daripada satu bekas, dan kami ketika itu sedang berjunub” (Sahih Muslim : 482)

Mandi bersama bukan sekadar berada di bilik air bersama-sama sambil mandi-manda. Malah ia disertakan juga dengan aktiviti-aktiviti romantik yang boleh meningkatkan kemesraan dan keseronokan. Nabi SAW sendiri ketika mandi itu, tidak sekadar mandi bersama-sama semata-mata. Aisyah yang mandi bersama Nabi bercerita bahawa ketika sedang Nabi SAW mandi bersama, Baginda SAW merungkai-rungkaikan rambut Aisyah (Sahih Muslim : 498). Demikianlah romantiknya Rasulullah sallallahi ‘alaihi wa sallam.

Selain itu, sambil-sambil mandi pasangan suami isteri bolehlah bergurai senda, dan berseronok. Rasulullah sallallahi ‘alaihi wa sallam sendiri pernah mandi bersama sambil bergurau-gurau. Mereka berdua bermain-main air, dengan berebut-rebut mengambil air sehinggakan Aisyah dalam suasana sedang berseronok-seronok meminta kepada Nabi agar air itu disimpan untuknya kerana semuanya telah diambil oleh Nabi SAW (Sunan An-Nasai : 239).

Bahkan aktiviti mandi manda bersama ini juga boleh menjadi aktiviti kemesraan intim yang amat menyeronokkan. Dalam suasana berdua dalam satu tempat mandi, dan dalam suasana sejuk itu tentunya suami isteri akan terdorong untuk lebih mesra dan intim. Dalam hal ini, Ummu Salamah pernah bercerita bahawa dia mandi bersama dengan Nabi SAW dan ketika itu Baginda menciumnya. Menurutnya, peristiwa ini berlaku, ketika Baginda sedang berpuasa (Mushad Ahmad : 25355).

Demikianlah hebatnya cinta Rasulullah sallallahi ‘alaihi wa sallam. Kita sebagai umatnya amat wajar menjadikannya sebagai petunjuk dan pengajaran. Jika Rasulullah sallallahi ‘alaihi wa sallam menyuburkan kasih melalui mandi bersama, mengapa kita tidak boleh lakukannya. Alangkah malangnya jika perasaan malu tidak bertempat menghalang kita untuk mencontohi amalan Rasulullah SAW ini dalam rumahtangga kita sendiri.

Selain itu, anggapan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa mandi bersama-sama dengan isteri merupakan amalan tidak sopan, merupakan satu anggapan yang salah dan tersasar dari ajaran Islam. Mandi bersama ini secara tidak langsung akan menimbulkan rasa dihargai bagi isteri dan seterusnya menambahkan lagi kasihnya kepada suami. Bagi suami pula, amalan ini dapat meringankan tekanan kerja di samping menimbulkan ketenangan hasil kegembiraan yang dirasai oleh isteri.

Bagi suami, usahlah malu untuk mengajak isteri mandi bersama. Janganlah menyangka bahawa mandi bersama isteri akan menjatuhkan martabat anda sebagai seorang suami yang menjadi ketua keluarga. Ingatlah, jika Rasulullah sallallahi ‘alaihi wa sallam sendiri melakukannya, tentu tersirat seribu macam kelebihan di dalam amalan ini.

Bagi isteri pula, janganlah menolak apabila di ajak oleh suami mereka untuk mandi bersama. Lihatlah Aisyah dan Ummu Salamah yang tidak menolak ajakan Nabi SAW untuk mandi bersama-sama. Bahkan, dilihat bahawa Aisyah amat berbangga dan gembira dengan tindakan Nabi yang mandi dengannya sehingga sanggup menceritakan hal ini. Jika tidak, masakan kisah ini dibukukan dalam kitab-kitab hadis.

Demikianlah pedoman berumahtangga yang dipetik dari kehidupan Rasulullah sallallahi ‘alaihi wa sallam. Mudah-mudahan rakan-rakan semua terdorong untuk mengikuti jejak insan mulia ini dalam usaha untuk mengukuhkan institusi rumah tangga. Moga kita semua dirahmati Allah SWT.

Artikel ini diolah dari tulisan Al-Fadhil Ustaz Wan Ji Al Bakistani. Beliau adalah ulama muda yang gigih berdakwah melalui lisan dan tulisan.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails