08 November, 2010

Etnik Rao (Rawa)

Misteri Etnik: Melayu Rawa
Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my
2010/08/08


ADA yang menggelar mereka Melayu Rao biarpun masyarakat ini lebih sinonim dengan Melayu Rawa. Malangnya tidak ramai yang mengenali etnik yang banyak bertumpu di beberapa negeri di Semenanjung seperti Perak, Pahang.

Mengikut tulisan Prof Dr HM Bukhari Lubis (Universiti Pendidikan Sultan Idris) dan Afriadi Sanusi (Universiti Malaya), Melayu Rao ini ditakrif sebagai beragama Islam, bermastautin di Rao, berasal dari keluarga Rao melalui hubungan darah atau persemendaan tanpa batas sempadan, berbahasa Rao dan mengamal adat budaya Rao.
Menarik sebenarnya untuk dibincangkan mengenai hubungan Rao itu dengan Malaysia. Ringkasnya, sekitar 1830-an ada seramai 25,000 orang Rao di Lembah Rao, Sumatera, namun pada tahun 2009, bilangannya sekitar 60,000 orang saja di sana kerana majoritinya sudah berhijrah ke Malaysia dan Singapura.

Jika dikaji, terlalu banyak fakta mengenai orang Rao, lebih menarik jika diteliti bagaimana mereka berhijrah ke Tanah Melayu, berbekalkan status sebagai golongan mahir dalam pentadbiran, keagamaan, kerohanian dengan bekerja sebagai petani, pedagang dan pelombong.

Kaum Rao yang pertama berpindah ke Tanah Melayu adalah golongan petani sekitar abad ke-5 Masihi. Faktor perdagangan bebas ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka pada pada ke-15, hanya menggalakkan lebih ramai orang Rao merantau, berdagang dan terus bermastautin di sini.

Kerancakan aktiviti perlombongan emas di abad ke-17 Masihi dan bijih timah di abad ke-18 mendorong sebahagian besar pelombong Rao ke Tanah Melayu melalui negeri selat (Singapura, Melaka dan Pulau Pinang).
Mereka membawa bersama budaya dan adat resam tradisi yang masih diamalkan sehingga kini sebagai identiti Orang Rao. Mengamati fizikal mereka, tiada banyak berbeza dengan Melayu Malaysia cuma bahasa pertuturannya berbeza iaitu seakan-akan Minang.

Rao terkenal adat berjojak, tobek

ISTILAH Rawa merujuk kepada satu etnik suku bangsa Melayu daripada keturunan Rao, sebuah kacamatan di dalam Kabupaten Pasaman di Sumatera Barat. Negeri Rao berjiran dengan Tapanuli (utara) yang didiami Mandailing dan Sumatera Barat (selatan) yang majoriti penduduknya Minangkabau.

Di sebelah barat Rao ialah Selat Mentawai dan timur bersempadan dengan Riau. Perkataan Rawa hanya popular di Makkah dan Malaysia tetapi kurang dikenali di Rao.

Pengkaji sejarah masyarakat Rawa, Zabidin Ismail (Jari Basurek) merujuk kepada catatan penulis, Wan Mohd Shaghor Abdullah yang mengatakan, istilah Rawa di Malaysia bermula daripada Haji Abdullah Nordin al-Rawi yang mengasaskan syarikat percetakan dan penerbitan, Persama Press di Lebuh Aceh, Pulau Pinang (1921).

Pada asalnya, di sebut ar-Rawi mengikut istilah Arab yang bermaksud dibangsakan kepada ‘Rao;’ tetapi lama kelamaan menjadi ar-Rawa yang menunjukkan seseorang itu berasal dari Negeri Rao. Penggunaannya bermula awal abad ke-19 khususnya ketika pengajian Islam berkembang di Makkah.

Berdasarkan kajian Zabidin melalui bukunya, ‘Sekondak Hati’ beliau memberikan pendapat dan analisis bahawa wujud tanggapan bahawa asal usul orang Rao adalah dari Pagar Ruyung.

Bagaimanapun, katanya jika merujuk kepada penelitian Dr Mukhtar Naim dan pendapat daripada MO Parlindungan yang menyatakan orang Rao adalah dari Champa iaitu suku bangsa Lubu, bukannya orang Pagar Ruyung.

Hal ini sesuai dengan situasi pendapat orang tua di Rao yang menerima petua bawah mereka adalah orang Lubu dan sesuai dengan peninggalan sejarah klasik Rao yang menganut Hindu dan Budha yang dibawa dari Champa.

Penghijrahan beramai ramai ke Tanah Melayu berlaku semasa Perang Paderi (1816-1833) di Indonesia semasa zaman pemerintahan kolonial Belanda. Sebahagian besarnya terdiri daripada golongan istana, ulama, cendikiawan, panglima dan tentera.

Mereka kini bertuah kerana wujudnya pertubuhan Jalinan Anak Rao Malaysia (JARO) yang didaftar pada 6 Disember 2007 bagi menguruskan, mengumpul, mengembangkan serta menghidupkan semula budaya Rao.

Setiausaha JARO, Tahiruddin Ahmad berkata, berdasarkan kajian tidak rasmi, ada kira-kira 250,000 keturunan Rao di Malaysia dan 700 daripadanya sudah mendaftar dengan JARO.

“Masih ada kira-kira 150,000 Rao di Sumatera Barat atau di penempatan asal. Kami pernah adakan seminar Melayu Rao buat pertama kali pada UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris) yang dihadiri 1,500 orang, itu suatu yang di luar jangkaan,” katanya.

Orang Rao sebenarnya cukup terkenal dengan adat Berjojak (Pantang Tanah), kemahiran tobek (membela ikan air tawar), masakan tradisional gulai lemak dan kelamai (lemang).

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails