08 Ogos, 2010

Hukum Bergantung Kepada Ilmu Ladunni


Hukum Bergantung Kepada Ilmu Ladunni
|
Soalan: Dr Asri, suami saya seorang yang ingin mencari kebenaran. Malangnya kebelakangan ini dia terlibat dengan ajaran yang agak pelik. Dia kata dia ikut tasawwuf atau sufi. Dia mula bercakap macam-macam perkara yang bagi saya begitu falsafah. Dia kata gurunya ada ilmu ‘ladunni’. Gurunya bukan macam kita yang biasa. Gurunya macam Nabi Khidir yang tidak bergantung lagi kepada ajaran Nabi Musa. Apakah maksud semua ini?

Maziah, Gombak.

Jawapan Dr MAZA: Puan, semoga Allah merahmati puan. Sikap prihatin puan terhadap agama suami puan adalah tanda puan seorang yang sayangkan Islam. Jika benar suami puan ingin mencari kebenaran dan dia ikhlas, saya percaya satu hari Allah tetap akan membimbing dia menemui jalan yang diredhaiNya. Untuk soalan puan maka saya jawab seperti berikut;

1. Hasrat ingin membersihkan diri dengan mempelajari ilmu yang menumpukan kepada pembinaan ruh atau kesucian jiwa (tazkiyyah al-nafs) adalah sesuatu yang terpuji. Insan memerlukan hal tersebut. Sering kali ilmu pembersihan jiwa itu dinamakan dengan tasawwuf atau kesufian. Walaupun panggil ‘tasawwuf’ atau ‘sufi’ mempunyai berbagai persepsi atau pro dan kontra dalam kalangan sarjana Islam, tetapi bagi saya yang penting apakah isi kandungan ajaran yang terkandung dalamnya? Jika isi kandungan ajaran itu menepati al-Quran dan al-Sunnah, maka soal nama atau panggilan tidak begitu besar untuk diperdebatkan. Walaupun saya lebih cenderung agar dipanggil ilmu proses penyucian diri itu dengan ilmu tazkiyyah al-nafs sesuai dengan istilah digunakan oleh al-Quran dan al-Hadis.
2. Malangnya, banyak kalangan mereka yang mendakwa membawa ajaran tasawwuf atau kesufian ini tidak memfokuskan kepada penyucian jiwa, sebaliknya banyak tertumpu kepada membesar-besarkan ‘guru’ atau syeikh mereka. Falsafah-falsafah yang pelik-pelik dibangkitkan dengan menggambarkan kehebatan guru rohani yang terlibat. Maka, sepatutnya anak murid diajar untuk membesar dan mengagungkan Allah, tetapi guru mengambil kesempatan untuk dirinya turut dibesarkan. Sehingga seorang sarjana al-Syeikh Manna’ al-Qattan menyebut:
“Tasawwuf telah bertukar menjadi falsafah andaian semata-mata, yang tiada lagi hubungan dengan warak, taqwa dan kezuhudan. Falsafah ini mengandungi pemikiran-pemikiran yang bercanggah dengan Islam dan akidahnya”( Mabahith Fi `Ulum al-Quran, m.s. 356, Riyadh: Maktabah al-Ma’arif).
3. Dalam al-Quran, dalam Surah al-Kahf (ayat 60-82). Allah menceritakan pengembaraan Nabi Musa mencari Khidir a.s. bagi menuntut ilmu daripadanya. Semasa perjalanan Nabi Musa a.s. menemani Khidir a.s., baginda telah melihat beberapa tindakan Khidir a.s. yang menyanggahi syariat yang diturunkan kepadanya (Musa) lalu baginda membantahnya. Setelah tiga kali pertanyaan serta bantahan dibuat oleh Musa a.s. terhadap tiga tindakan yang dilakukan oleh Khidir, akhirnya Khidir pun tidak lagi membenarkan Musa a.s. mengikuti dan menceritakan rahsia segala tindakan-tindakannya yang dianggap oleh Nabi Musa a.s. sebagai kesalahan.
Dengan mempergunakan kisah dalam Surah al-Kahf berkenaan maka sesetengah golongan tarikat beralasan bahawa para wali dibolehkan tidak mengikut syariat para nabi dan boleh melakukan segala tindakan yang dianggap salah oleh golongan zahir tetapi betul di sisi ilmu hakikat atau ilmu ladunni. Ini kononnya sama seperti tindakan Khidir yang tidak mengikut Nabi Musa a.s. kerana Khidir adalah wali Allah dia menilai dengan ilmu ladunni yang terus menerus daripada Allah sedangkan Musa a.s adalah seorang nabi yang menilai dengan ilmu syariat semata. Justeru itu golongan hakikat tidak sama dengan golongan syariat dan golongan hakikat tidak perlu mengikut syariat seperti Khidir tidak perlu mengikut Musa.
4. Perkataan ilmu ladunni itu diambil dari ungkapan al-Quran dalam kisah tersebut pada ayat 65 dari Surah al-Kahf, Allah berfirman: (maksudnya):
“Lalu mereka berdua (Musa dan Yusya’ bin Nun) telah bertemu seorang hamba (Khidir) dari kalangan hamba-hamba Kami (Allah) yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami dan Kami berikan kepadanya ilmu dari sisi Kami”.
Oleh kerana ayat ini (dalam teks asal al-Quran) menyebut min ladunna ilma (ilmu dari sisi Kami) maka muncul istilah ilmu ladunni. Dengan istilah ini ada golongan mengambil kesempatan untuk mengatakan mereka juga mempunyai ilmu ladunni oleh itu mereka tidak terikat atau bergantung dengan syariat zahir seperti Khidir tidak bergantung kepada syariat Musa a.s.
5. Seorang tokoh tafsir terkenal yang juga merupakan guru saya iaitu al-Syeikh ‘Abd al-Fattah Solah al-Khalidi menyebut:
“Selepas melihat perkataan-perkataan daripada para ulama kita maka kita dapat membuat suatu keputusan yang putus iaitu: Ilmu ladunni yang diisyaratkan oleh ayat tersebut, yang telah Allah ajarkannya kepada Khidir a.s. sebenar ialah nubuwwah (kenabian) dan wahyu. Adapun pengakuan dan dakwaan golongan sufi mengenai ilmu ladunni menurut kefahaman mereka itu, adalah batil, sesat, menyanggahi syariat Islam dan petunjuk al-Quran” (Ma`a Qasas as-Sabiqin Fi al-Quran 2/186. Syria: Dar al-Qalam).
6. Ertinya, tindakan- tindakan Khidir dalam kisah tersebut adalah atas arahan wahyu daripada Allah. Beliau itu nabi. Nabi Musa a.s. diutuskan kepada Bani Israil, tidak diutuskan kepada Khidir. Khidir menerima arahan langsung daripada Allah melalui jalan wahyu. Segala tindakan Khidir adalah perintah Allah melalui jalan wahyu. Beliau tidak bergantung kepada ajaran Nabi Musa a.s. yang diutuskan hanya untuk Bani Israil.
Adapun Nabi Muhammad S.A.W. adalah utusan untuk sekelian manusia tanpa kecuali dan tidak ada yang terlepas dari berada di bawah lembayung ajarannya. Semua kita bergantung kepada syariat baginda dan sudah tiada nabi lagi selepas baginda. Nabi s.a.w bersabda:
“Dahulu nabi diutuskan khusus untuk kaumnya, aku diutuskan untuk manusia keseluruhannya”. (Riwayat al-Bukhari dan al-Nasai).
Maka, kita semua terikat dengan syariat nabi kita Muhammad s.a.w. Tiada sesiapa yang boleh memandai-mandai membuat syariat sendiri atau mendakwa dia mendapat syariat baru secara langsung wahyu dari Allah. Jika ini dibenarkan, bererti setiap orang berpotensi untuk mencetuskan ajaran baru atas nama Allah. Maka ajaran Nabi Muhammad tiada lagi nilainya. Justeru, al-Imam Ibn Abi al-`Izz (792H) dalam kitab akidah yang masyhur iaitu Syarh al-`Aqidah at-Tahawiyyah menyebut:
“Adapun sesiapa yang berpegang dengan kisah Musa bersama Khidir a.s. bagi membolehkannya meninggalkan wahyu kerana bergantung dengan ilmu ladunni, seperti yang didakwa oleh yang tidak mendapat taufik, maka dia adalah mulhid (atheis) dan zindak (munafik). Ini kerana Musa a.s. bukanlah Rasul yang diutuskan kepada Khidir. Khidir juga tidak diperintah untuk mengikutnya. Sebab itulah Khidir bertanya Musa: “Apakah engkau Musa dari Bani Israil?” Jawab Musa: “Ya!” (Riwayat al-Bukhari). Adapun Muhammad adalah diutuskan untuk seluruh manusia dan jin. Sekiranya Musa dan `Isa masih hidup maka mereka mesti menjadi pengikutnya. Apabila `Isa turun ke bumi (pada akhir zaman) dia hanya akan berhukum dengan syariat Muhammad. Oleh itu sesiapa yang mendakwa bahawa kedudukan dia bersama Muhammad seperti Khidir bersama Musa atau membolehkan (mempercayai) hal ini boleh berlaku untuk sesiapa di kalangan umat maka hendaklah dia memperbaharui keislamannya. Hendaklah dia kembali bersyahadah dengan syahadah yang benar kerana dia telah terkeluar dari Islam keseluruhannya. Sama sekali dia bukan dari kalangan wali-wali al-Rahman (Allah) sebaliknya dia adalah wali-wali syaitan”. (Syarh al-`Aqidah at-Tahawiyyah, m.s. 511. Beirut al-Maktab al-Islami).
Ya, kenyataan ini agak keras, namun kita patut mengambil mengiktibaran darinya.
7. Kenyataan-kenyataan para ulama seperti al-Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya ketika menyanggah golongan yang memutar belitkan maksud ilmu ladunni ini, begitu tegas dan keras. Ini disebab dakwaan ini boleh menyebabkan ditolak ajaran Nabi s.a.w dan wujudnya syariat baru selain Islam. Maka dakwaan ilmu ladunni dalam bentuk syariat yang berbeza dengan apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w adalah sesat dan boleh membawa kufur.
8. Namun, ini tidak menafikan bahawa Allah mungkin memberikan mimpi yang benar dan ilham yang benar kepada seseorang dalam hal-hal kehidupan yang bukan bersifat syariat baru. Seseorang mungkin ditunjuk pilihan yang betul dalam berkeluarga, berkerjaya atau seumpamanya. Namun, semua mimpi dan ilham itu mestilah dirujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah untuk memasti ia bukan mainan syaitan.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails